Saturday, June 20, 2009

Aku Ketemuan..

. Saturday, June 20, 2009


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Bismillah.. Kini blog saya telah berubah wajah. Mudah-mudahan dengannya juga menjadi satu anjakan perubahan dalam kebaikan untuk diri kita semua. Jutaan terima kasih jua saya tujukan kepada tangan-tanga mulia itu yang telah membantu saya dalam pembikinan blog ini. Moga-moga di sana kelak akan dibalasi dengan sebaik-baik balasan..

Hari ini juga saya dapat bertemu dengan sahabat lama saya yang walaupun hidup di hamparan tanah pasiran ini, tapi sudah lama tidak ketemuan. Walau cuma bertemu di dunia alam maya ini, alhamdulillah.. Ust. Fairuz Tamyez.. kuwe kabare si? Mudah-mudahan cepat setel master yer yo, Jalok karo pengeran kuoso, insya Allah..

Kami mula berkenalan ketika menunaikan Haji pada 19/12/2005. Beliaulah yang menjadi ‘Mas’ul’ (ketua) team kami. Teruk juga dia, ke sana sini. Menyusahkan diri , semata-mata demi kemaslatan para Jamaah seperti saya ini..
Perjalanan kami melayari lautan luas dan terusanan Suez memakan 3 hari, 2 malam. Hidup seketika di lautan memang mencemaskan. Maklumla, tak pernah-pernah naik kapal laut. Istilah mabuk laut itu, sudah pastinya. Makan pun tak lalu, Cuma ‘Endomee’ sahaja yang berjaya melepasi tekak-tekak kami ini. Alhamdulillah, semuanya selamat pergi dan pulang atas penjagaan dari Khaliq terhadap makhluqNya..

Inilah kehidupan di dunia, tidaklah Allah swt menciptakan segala apa-apa yang di langit dan di bumi dan apa-apa di antaranya hanya sia-sia belaka. Tidak diciptakan gitu-gitu sahaja. Sudah seharusnya hamba itu mengenang budi tuannya, sudah wajibnya hamba itu mentaati Tuhannya. Justeru, marilah kita amati akan kalamNya ini, yang seringkali kita tuturi dalam solat harian:

“Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. Surah al-An’am (162)

Antara tujuan kita diciptakan di muka bumi ini, yang beruang lingkupkan sesama manusia, yang bermacam pada ragamnya, yang berlainan pada warna kulitnya, iaitu supaya manusia itu saling bersuai kenal. Firman Allah swt dalam surah al-Hujurat, ayat; 13;

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”

Ibn ‘Abbas berkata di dalam tafsirnya;
1. ( شعوبا ) bermaksud ‘kabilah-kabilah’ (berbangsa-bangsa).
2. ( قبائـل ) bermaksud ‘ketua-ketua kabilah, dikatakan juga tuan atau ketua sesebuah bangsa dan ketua-ketua setiap kabilah ‘Arab’.
3. ( لتعارفوا ) bermaksud ‘supaya kamu bersuai kenal bilamana masing-masing bertanya-tanya; kamu dari mana. Maka kamu katakan; dari bangsa Quraish, dari bangsa Kundah, dari bangsa Tamim dan dari bangsa Bajilah.
4. ( ٳن أكرمكم ) iaitu ‘Sesungguhnya semulia-mulia kamu di akhirat kelak’. ( عند الله ) iaitu ‘di sisi Allah pada hari kiamat’. ( أتقاكم ) iaitu ‘ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu di dunia ialah Bilal’.
5. ( ٳن الله عليم ) iaitu ‘sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan kedudukan (kemuliaan) dan keturunan kamu’.
6. ( خبير ) iaitu ‘lagi Maha mendalam pengetahuannya tentang amalan kamu dan penghormatan kamu (kemuliaan) di sisi Allah swt’.

Dapatlah kita simpulkan di sini, sebagaimana kata Pro. Dr. Wahbah az-Zuhaily di dalam tafsirnya; at-Tafsir al-Munir, sesungguhnya kita semua ini telah diciptakan oleh Allah swt dari asal yang satu iaitu dari bapa dan ibu kita, Adam as dan Hawa, kita semua sama sahaja dan janganlah kita merasai kemegahan dengan keturunan kita sendiri. Janganlah hendaknya kita mengejek-ejek atau merendah-rendahkan antara satu sama lain. Kita juga telah diciptakan dan hidup dalam kepelbagaian bangsa (contohnya orang Melayu, India, Cina, ‘Arab, orang Barat dan sebagainya) dengan maksud agar kita saling kenal mengenali. Bukannya untuk menghina-dina atau merendah-rendahkan orang lain. Kerena yang selayaknya mereka yang mulia itu adalah mereka yang berTAQWA kepada Allah swt. Manakala mereka yang suka merendah-rendahkan orang lain itu, kita katakanlah kepada mereka ‘Sesungguhnya Allah swt itu sangat-sangat tahu tentang kalian dan tentang perbuatan-perbuatan kalian’, iaitu dengan sifat ‘AlimNya. ‘Juga sangat-sangat mendalam pengetahuanNya apa yang kalian sembunyikan dan dirahsiakan’, iaitu dengan sifat KhabirNya. Apa yang dirahsiakan itu tidaklah di sisi Allah swt itu melainkan seperti sesuatu yang dizahirkan..

Jadi, kayu ukur yang kita boleh jadikan terhadap kemuliaan seseorang itu di sisi manusia dan Allah swt ialah hanya KETAQWAAN sahaja.

Junteru, marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan Allah swt mengizinkan kita semua menjadi hamba-hambaNya tahu diuntung serta tergolong dalam golongan al-Muttaqin, amin..

Carilah teman ketika bermusafir, carilah kawan yang baik, yang mampu menegur bila kita tersalah, yang memberi dorongan dalam kebaikan, yang menjadi ‘Tambih’ tikamana kita terlena.

Rujukan;
1- Tafsir Ibn 'Abbas, Darul Kutub al-'Almiyyah, Beirut (2008).
2- A
t-Tafsir al-Munir, Pro. Dr. Wahbah az-Zuhailiy, Jilid; 13.
3- Atau rujuklah dan bertanyalah kepada guru-guru anda, kerana ia lebih baik.

0 comments:

Post a Comment