Wednesday, September 2, 2009

Nak Pakai Inai ke??

. Wednesday, September 2, 2009

Bismillahirrohmaanirrohim..

Sebelum terus memasuki perbincangan tentang tajuk di atas, apakah hukum penggunaan inai bagi wanita?

Secara kesimpulannya, pendapat yang benar (rajih) ialah mengatakan HARUS bagi wanita menggunakannya sacara mutlak adalah lebih baik kerana hujah yang dipegangnya adalah kuat dan hadis-hadis yang dinyatakan semuanya umum, mutlak serta tiada dalil yang mengkhususkannya. Wallahu ‘Alam..
BAGI LELAKI?
Jika untuk berubat hukumnya adalah tidak mengapa dan jika niatnya untuk berhias maka hukumnya adalah seperti berikut;


Kebanyakan Fuqaha’ dari kalangan Mazhab Hanafi, Maliki, satu riwayat daripada Syafi’e, Hambali dan Zohiri berpendapat ianya MAKRUH, iaitu mengecat atau mewarnai kedua belah tangan dan kaki bagi lelaki.

Disebut di dalam kitab Fatawa al-Hindiyyah;
“Dan tidak sepatutnya bagi budak lelaki mengecat kedua-dua belah tangan dan kakinya kecuali ketika berhajat sahaja”.
(Nizamuddin, as-Syeikh Nizamuddin dan sekumpulan Ulama’ India,
al-Fatawa al-Hindiyyah, cet; 3, Darul Ihya’ li at-Turath, Kaherah, Mesir)

PARA FUQAHA’ BERDALILKAN DENGAN DALIL-DALIL BERIKUT:

HADIS 1.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud;
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa “Nabi s.a.w telah didatangi oleh seorang pondan yang mengecat kedua belah tangan dan kakinya dengan inai. Maka Nabi s.a.w bertanya; ‘Kenapa hal kamu ni?’. Dikatakan kepada Nabi s.a.w; ‘Wahai Rasulullah s.a.w dia menyamai perempuan’. Lalu Nabi s.a.w mengarahkan supaya dihalau (dia) ke paya (tempat yang mempunyai banyak air)”.
(Sunan Abi Daud)

- Cara penghujahan dalil di atas:
Hadis ini menunjukkan bahawa amalan mewarna (mengecat) merupakan perhiasan wanita. Apabila ianya digunakan oleh lelaki ia akan menunjukkan persamaan dengan wanita dan Nabi s.a.w melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan sebaliknya juga.

HADIS 2.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksudDaripada Anas r.a bahawa “Nabi s.a.w melarang lelaki memakai atau melumur zakfaran”.
(Sahih Muslim bi Syarh an-Nawawi, jilid; 14, hlmn; 79; Sunan Abi Daud, jilid; 4, hlmn; 80)

- Apakah ‘Zakrafan’ itu?
Zakfaran ialah sejenis tumbuhan yang kuning kemerahan dan digunakan untuk ubat-ubatan atau memasak.

- Cara penghujahan dalil di atas:
Nabi s.a.w melarang memakai warna kuning kemerah-merahan (warna Zakfaran), begitu juga diambil hukum yang sama bagi mewarna kedua belah tangan kerana warna merah cenderung kepada warna kuning.

KESIMPULAN.
- Amalan mengecat atau mewarnai dengan niat untuk berubat adalah HARUS bagi lelaki dan wanita. Adapun jika dengan niat untuk perhiasan, maka bagi wanita dalam pendapat yang rajih adalah HARUS.
- Manakala bagi lelaki pula MAKRUH dengan kata sepakat para Fuqaha’. Wallhu ‘Alam..

Rujukan;
Pembedahan Kosmetik Menurut Perspektif Islam, Ahmad Dahlan bin Salleh, B.A (Hons) Syariah Islamiah, Uni. Az-Azhar, Cet; 2, Feb. 2003, Darul Syakir Enterprise, M/s; 72-77.

0 comments:

Post a Comment