Monday, March 14, 2011

Mengetahui nama-nama Jin di dalam al-Quran

. Monday, March 14, 2011



BAHAGIAN 2: ( جِنّ ـ جِـنّة ـ جَانّ )


Ta’rif;

Raghib al-Asfahani berkata lafaz (الجِنّ ) mempunyai 2 makna:


1- Alam rohani yang tersembunyi dan tidak dirasai oleh manusia. Oleh itu malaikat dan jin termasuk dalam bahagian ini. Setiap malaikat adalah jin, tetapi bukan bererti setiap jin adalah malaikat!!

2- Jin adalah salah satu jenis makhluk di alam rohani.


Dari jenis kedua ini pula, terdapat 3 makhluk yang ghaib iaitu;

1- ‘Yang terbaik iaitu Malaikat’.

2- ‘Yang paling buruk iaitu syaitan’.

3- ‘Yang pertengahan (ada yang baik dan yang buruk’).


Jika dihitung, kita akan dapati di dalam al-Quran kalimah ini diulang sebanyak 22 kali.


Manakala kalimah ( جِـنّة ) pula bermaksud; 1- ‘Sekumpulan jin’. 2- ‘Orang gila atau orang yang kemasukan jin’ (مجنون ). Kalimah ini diulang sebanyak 10 kali di dalam al-Quran.

Kalimah ( جَانّ ) bermaksud; 1- ‘Jin’. 2- ‘Sejenis ular’. Dan kalimah terdapat sebanyak 7 diulang di dalam al-Quran.


‘Ijaz Kalimah ( جِـنّة ) dalam surah as-Sooffat.


Firman Allah swt dalam Surah as-Sooffat, ayat ke-158;

“(Mereka telah mengatakan perkara yang mustahil) serta mengadakan pertalian kerabat di antara Allah dan malaikat, padahal demi sesungguhnya malaikat itu sedia mengetahui bahawa sebenarnya orang-orang yang melakukan demikian akan dibawa hadir (ke dalam azab pada hari Akhirat)”.

(sila lihat mashaf untuk melihat ejaan sebenar, harap maaf)


Kalimah ( جِـنّة ) dalam ayat di atas membawa maksud; ‘Malaikat’. Ia ditafsirkan sedemikian kerana Malaikat termasuk makhluk yang tertutup daripada pandangan mata. Manakala Imam Ibn Mujahid lebih mengkhususkan lagi yang dimaksudkan dengan ( جِـنّة ) pada ayat tadi adalah sebutan (panggilan) sekelompok Malaikat yang mempunyai sebutan ( جِـنّة ).


Berdasarkan penafsiran ayat tersebut, disebut bahawa orang Kafir telah membuat satu tuduhan bahawa Allah swt mempunyai hubung kait dengan Malaikat, iaitu Malaikat sebagai ‘Anak perempuanNya’!! Tuduhan itu kelak di akhirat akan diperhitungkan dan Malaikat juga tahu di akhirat nanti orang Kafir itu akan dihadirkan di depan Allah swt. Mereka juga akan diminta bertanggungjawab atas ucapan itu.


Manakala Imam Ibn Kathir pula menerangkan bahawa Ibn ‘Abbas menafsirkan kalimah tersebut dalam ayat ke-158 itu dengan makna ‘Iblis’. Ini kerana musuh-musuh Islam menuduh Allah swt adalah saudara iblis. Maha suci Allah dari tuduhan mereka itu. (Kamus al-Quran, PTS, M/s; 163-164)


Kesimpulan dari tafsir-tafsir tadi menjadi satu andaian kepada kita bahawa lafaz-lafaz di dalam bahasa Arab, khususnya dalam al-Quran tidaklah hanya terikat dengan satu makna sahaja. Mungkin satu kalimah membawa makna lebih dari dua, tiga dan lebih dari itu. Cara untuk kita mengenal pasti apakah makna yang sesuai, tidak dapat tidak kita hendaklah melihat kepada maksud atau sasaran sesebuah ayat itu. Dalam ilmu Balaghah ia dipanggil sebagai ( سياق الكلام ).


Keadaan seperti itu ia dipanggil sebagai ( اللفْظُ المُشتَرَك ) juga dikenali dengan ( الوجوه ). Imam as-Suyuti berkata; "al-Wujuh ialah Fafaz Musytarak yang digunakan bagi satu kaliamh dengan makna yang banyak, seperti lafaz الٲمّة”. (Al-Itqan fi ‘Ulumil Qur’an)

‘Ijaz Kalimah ( جَانّ ) Dalam surah an-Naml dan al-Qosos.


Firman Allah swt dalam surah an-Naml, ayat ke- 10 dan surah al-Qosos, ayat ke-31;

“Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu, maka apabila dia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak cepat tangkas, seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah dia melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (lalu dia diseru): "Wahai Musa, janganlah takut. Sesungguhnya Rasul-rasul itu semasa mengadapku (menerima wahyu), tidak sepatutnya merasa takut (surah an-Naml)


“Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu". (dia pun mencampaknya). Maka apabila ia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak cepat tangkas, seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah ia melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (lalu dia diseru): "Wahai Musa, datanglah kemari dan janganlah engkau takut. Sesungguhnya engkau dari orang-orang yang beroleh aman” (surah al-Qoshosh)

(sila lihat mashaf untuk lebih jelas, maaf kerana saya tidak dapat sertakan nasnya di sini)


Ulama’ Tafsir mengatakan kalimah ( جَانّ ) dalam ayat di atas ialah ‘Sejenis ular yang besar dan geraknya begitu cepat’. Manakala Imam as-Syaukani menekankan penggunaan kalimah ini dalam ayat tersebut memberi isyarat bahawa ular itu mempunyai gerak yang cepat seperti cepatnya gerakan jin.


Ular’ dalam ayat-ayat di atas adalah ular yang asalnya berbentuk tongkat yang dipegang oleh nabi Musa as. Berubahnya tongkat menjadi ular adalah Mukjizat yang dianugerahkan Allah kepada Baginda as.


Sebagai kesimpulan umum, ketiga-tiga kalimah yang disebutkan di atas dari sudut maknanya adalah sesuai dan sejajar dengan maksud bahasa kalimah ( جِـنّة ) itu sendiri, iaitu ‘Alam ghaib yang tersembunyi dan tidak dapat dilihat oleh manusia termasuk juga Malaikat dan syaitan’. Seperti juga kalimah ( جَنِيْن ), iaitu kandungan yang berada di dalam perut ibu ketika mengandung. Tetap juga kita tidak dapat melihatnya. Begitu juga kalimah(مجنون ), bermaksud; ‘Orang gila’, kerana orang yang gila itu dinilai sebagai perkara yang subjektif. Tidak seperti buku yang boleh disentuh dan dilihat. Bukan seperti jam tangan yang sentiasa di tangan, dapat disentuh, dilihat dan dipegang.


Wallahu ‘Alam..


Rujukan;

-Kamus al-Quran, rujukan lengkap kosa kata dalam al-Quran, Katua Panel;Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Mohd Yusoff, PTS.

-Mu’jam al-Mufahras.

-Al-Itqan, Imam as-Suyuti.

1 comments:

Abu Irsyad said...

Mcmni mmg best. Wak....kasi baca dan tulis lagi dan lagi. Masa lapang sebelum sempit....

Post a Comment